NADAL beraksi ketika merasmikan akademi miliknya di Cancun, Mexico. - FOTO EPA
AFP

BINTANG tenis Rafael Nadal membuka akademi baru di Mexico di pusat peranginan tepi pantai Caribbean di Cancun.

Pusat tenis di Costa Mujeres itu adalah cawangan akademi asal Nadal di kampung halamannya Mallorca.

“Kami datang ke sini hampir setiap tahun dan kami sudah tahu kawasan persekitarannya,” kata juara Terbuka Perancis 11 kali itu pada sidang akhbar di Cancun, dekat Mexico City, awal pagi tadi.

Pusat tenis itu termasuk lapan gelanggang tanah liat berlampu limpah, gimnasium serta kedai pakaian dan peralatan sukan.

Sekalipun pusat itu awalnya dibuka kepada orang luar dan tempatan, Nadal berkata, “satu daripada sasaran jangka pendek dan panjang adalah menyumbang kepada pembangunan tenis di Mexico.”

Pemain paling berjaya pernah dihasilkan Mexico adalah Rafael Osuna, bekas pemain nombor satu dunia yang merangkul kejuaraan Terbuka AS pada 1963.

Dia turut memenangi tiga gelaran beregu Grand Slam dan pingat emas beregu Sukan Olimpik 1968 apabila tenis menjadi acara pertunjukan.

Osuna membantu Mexico layak ke final Piala Davis 1962, satu-satunya penampilan negara itu pada aksi penentuan kejohanan berpasukan itu.

Nadal, pemain nombor dua dunia akan beraksi pada Terbuka Acapulco minggu depan, kejohanan yang dimenanginya dua kali sebelum ini sekalipun dia menarik diri daripada perlawanan pertamanya tahun lalu kerana cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 11:41 AM