Reaksi Sarri (kiri) ketika menyaksikan pasukkannya tunduk kepada Manchester United dengan jaringan 0-2 saingan Piala FA di Stamford Bridge. FOTO Reuters
Reuters

London: Maurizio Sarri kini perlu menjelaskan segala-galanya mengenai penyingkiran Chelsea daripada Piala FA di tangan Manchester United awal pagi tadi, ketika beliau berkemungkinan menerima nasib sama seperti Luiz Felipe Scolari dan Andre Villas-Boas yang gagal melepasi tempoh semusim sebagai pengurus Blues.

Kekalahan memalukan 0-2 buat juara bertahan itu awal pagi tadi, mencetus ejekan penyokong setia sebaik tamat perlawanan, membenarkan hujah bahawa pengendali kelahiran Itali itu bukan pengganti Antonio Conte.

Seperti mana yang dilakukan setiap kali berdepan kekecewaan, bekas pengendali Napoli itu terus ‘melatah’ selepas perlawanan tetapi kata-katanya bukan mencerahkan, malah mengeruhkan keadaan.

Mengakui pemainnya tidak memahami sepenuhnya apa yang beliau mahukan sejak tujuh bulan mengendalikan kelab itu, ia jelas sekali tidak menyenangkan peminat, kepemimpinan kelab atau mereka di bilik persalinan.

“Bukan sepenuhnya buat masa ini, terutama dalam situasi seperti separuh masa kedua yang mana kami perlu menggerakkan bola lebih pantas baik secara mental, mahupun fizikalnya,” kata Sarri apabila ditanya sama ada mesej yang ingin disampaikannya diterima pemain.

“Kami perlukan lebih banyak pergerakan tanpa bola dan kurang aksi individu.”

Selepas kekalahan kepada Arsenal bulan lalu, Sarri berkata, pemainnya ‘sukar dimotivasikan’.

Awal musim ini, selepas kekalahan kepada Tottenham Hotspur, beliau meluahkan kemarahannya kepada N'Golo Kante, mendakwa pemain tengah yang juga juara dua kali Liga Perdana Inggeris itu kekurangan aspek teknikal untuk beraksi di posisi tengah yang disukainya.

Sarri turut mendakwa penyerang Belgium Eden Hazard, watak penting di sebalik kejuaraan Liga Perdana di bawah kendalian Jose Mourinho dan Conte serta kejuaraan Piala FA tahun lalu, kurang memiliki kualiti kepemimpinan.

Awal pagi tadi, penyokong Chelsea bersama-sama peminat Manchester United bersorak ‘Dipecat waktu pagi’.

Skuad Sarri diperkotak-katikkan Manchester United yang kini berada di haluan berbeza sejak Mourinho dipecat Disember lalu.

“Saya bimbangkan keputusan, bukan peminat,” kata Sarri, membalas amukan peminat susulan kekalahan itu, kurang seminggu selepas dibelasah Manchester City 6-0.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 11:11 PM