PEMAIN PKNS, Muhammad Akram Mahinan (kiri) diasak pemain Selangor ketika aksi perlawanan Bolasepak Liga Super di Stadium Shah Alam. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


SELANGOR ‘diajar adik sendiri’ apabila tewas 0-4 kepada PKNS FC dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

Sepanjang perlawanan, PKNS lebih menguasai bola dengan melakukan serangan bertali arus, namun penyudah tumpul menafikan pasukan kendalian Datuk K Rajagobal untuk mencetak lebih banyak gol.

Separuh masa pertama menyaksikan pasukan pelawat bijak mengatur serangan dan jelas kelebihan dimiliki penyerang import mereka berjaya mengucar-kacirkan kubu lawan.

Usaha berterusan pasukan pelawat akhirnya membuahkan hasil apabila pemain pertahanan PKNS Nicholas Swirad berjaya menanduk gol pertama, yang juga gol kedua peribadinya musim ini hasil sepakan sudut pada minit ke-27.

Melihat pasukan Gergasi Merah seolah hilang arah, B Satiananthan segera melakukan pertukaran dengan mengeluarkan K Prabakaran dan memasukkan Nurridzuan Abu Hassan Saari bagi menguatkan bahagian tengah.

Namun, pertukaran itu tidak banyak membantu Selangor untuk mencari sekurangnya gol penyamaan, malah sebaliknya PKNS hampir melebarkan jurang pada minit ke-35 apabila percubaan Muhamad Faizat Mohamad Ghazli sedikit tersasar.

Perlawanan separuh masa kedua lebih seimbang apabila Selangor yang pada awalnya dilihat hilang tumpuan akhirnya mendapat rentak kembali dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan.

Namun, salah faham antara pemain pertahanan dan penjaga gol tuan rumah yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya terus dihukum apabila penyerang import PKNS Kpah Sherman tangkas menyambut peluang terhidang untuk jaringan gol kedua pelawat pada m-49.

Ketika Selangor masih tercari-cari gol pertama, PKNS FC terus berpesta gol apabila pemain import dari Kemboja Vanathanaka Chan menunjukkan pintu keluar untuk Gergasi Merah apabila menyumbat gol ketiga pada m-78.

Pelawat terus menambah derita Selangor apabila menjaringkan gol keempat pada akhir perlawanan menerusi Romel Morales. Walaupun serangan bertali arus dilakukan tuan rumah ke kubu lawan, namun kekentalan pertahanan pelawat berjaya menafikan serangan tuan rumah hingga keputusan kekal 0-4 sehingga wisel penamat.

Keputusan ini sekali gus menyaksikan Selangor masih lagi gagal meraih sebarang kejayaan selepas mengharungi tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 11:21 PM