Rafiuddin Roddin (kiri) menjalani latihan di Stadium Perak menjelang pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Ulsan Hyundai FC 19 Februari ini di Ulsan, Korea. FOTO L Manimaran
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


HAMPIR setahun tidak diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Perak, pertahanan kiri, Rafiuddin Roddin berjaya membalas kepercayaan pengendali pasukan, Mehmed Durakovic apabila menampilkan persembahan baik dalam perlawanan menentang Kitchee SC, Selasa lalu.

Rafiuddin atau lebih mesra dengan panggilan Along berkata, dia bersyukur apabila diberikan kepercayaan oleh jurulatih dalam kesebelasan utama pasukan ketika menentang wakil Hong Kong itu.

Katanya, penampilannya dalam perlawanan itu adalah antara perlawanan peringkat tertinggi pernah disertainya dan mahu menampilkan aksi terbaik untuk aksi seterusnya bagi terus memikat Durakovic dalam perlawanan seterusnya.

"Saya bersyukur kerana diberikan kepercayaan sebagai kesebelasan utama menggantikan pemain utama iaitu Nazirul Naim (Nazirul Naim Che Hashim) yang mengalami sedikit kecederaan dan tidak dapat diturunkan.

"Hampir setahun saya tidak beraksi sebagai kesebelasan utama dan disebabkan itu saya mahu menampilkan aksi terbaik pada bila-bila masa jika diperlukan," katanya.

Along berkata, sebelum ini dia lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan menjadi pemain gantian disebabkan posisi itu diisi Nazirul Naim namun dia perlu bersedia pada bila-bila masa jika diperlukan Durakovic.

Katanya, pada pertembungan menentang Kitchee SC sebelum ini, dia yang diturunkan dalam kesebelasan utama bermain sehingga ke minit ke-70 sebelum mengalami sedikit kecederaan di bahagian pergelangan kaki.

"Saya sedaya upaya menampilkan aksi terbaik namun sedikit kecederaan di bahagian pergelangan kaki menyebabkan saya perlu dikeluarkan kerana posisi saya amat penting ketika pasukan lawan sedang melakukan asakan.

"Kecederaan ini tidak teruk dan tiada masalah untuk diturunkan namun Naim juga sudah pulih daripada kecederaan sekaligus memberi lebih banyak pilihan kepada jurulatih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 2:48 PM