AHMAD Faizal (tengah) pada sidang media penganjuran EPIC 2019 dan pelancaran logo rasmi di Ipoh, hari ini. - FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


MAJLIS Sukan Elektronik Negeri Perak akan diwujudkan dalam usaha menjadikan negeri itu sebagai pemangkin pembangunan sukan elektronik atau e-Sukan yang kini menjadi kegilaan remaja di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, enakmen mengenai perkara itu sedang dirangka serta diperhalusi oleh jawatankuasa sementara (Protem) Sukan Elektronik Perak yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Modal Insan negeri, Howard Lee.

“Ini akan menjadikan Perak sebagai pemangkin rujukan bagi negeri lain dalam pembangunan e-Sukan pada masa akan datang.

“e-Sukan bukan hanya sekadar permainan semata-mata tapi sebagai satu cabang ekonomi baru menerusi pelbagai bidang kerjaya yang semakin berkembang,” katanya pada sidang media penganjuran persidangan industri profesional e-Sukan (EPIC) 2019 dan pelancaran logo rasmi, di sini hari ini.

Mengenai penganjuran EPIC 2019, beliau berkata, agensi pelaksana iaitu Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) akan menganjurkan persidangan industri profesional e-Sukan pada 2 dan 3 Mac ini di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh.

“Persidangan dua hari ini akan menghimpunkan ahli panel yang sudah lama berkecimpung dalam e-Sukan di samping mengumpulkan pemain industri dalam arena ini.

“Ia terbahagi kepada tiga asas utama iaitu pembangunan, ekosistem dan ekonomi yang meliputi hala tuju, dasar dan penguatkuasaan, infrastruktur, pembangunan atlet serta impak perkembangan industri ini secara keseluruhan kepada masyarakat khususnya belia di Perak,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, sempena persidangan itu kejohanan e-Sukan peringkat daerah Kinta membabitkan permainan konsol komputer (DOTA 2), konsul telefon pintar (Mobile Legends dan PUBG Mobile) dan konsol Playstation 4 (FIFA 19) juga dianjurkan dengan hadiah keseluruhan RM13,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 10:17 PM