MORBIDELLI dan Quartararo dijangka menghangatkan Perlumbaan 8 Jam Sepang, Disember depan. - FOTO Litar Antarabangsa Sepang
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) akan menganjurkan dua perlumbaan berprestij dari 13 hingga 15 Disember depan yang membabitkan saingan dua dan empat roda.

Dua perlumbaan itu adalah 8 Jam Sepang dan Piala Touring Car Dunia FIA (WTCR).

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, dua perlumbaan berpestij itu akan turut diwakili pelumba dan pemandu tempatan.

“Mitchell Cheah yang memenangi Kejohanan TCR Asia Tenggara tahun lalu akan beraksi menerusi tiket wildcard WTCR di Sepang pada Disember depan.

“Dengan pelancaran pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing, kami bercadang untuk menyenaraikan dua pelumba MotoGP serta pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi untuk saingan 8 Jam Sepang,” katanya.

Dua pelumba MotoGP yang dimaksudkan itu adalah Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo.

Perlumbaan 8 Jam Sepang akan berlangsung pada 14 Disember manakala WTCR sehari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 9:27 PM