MEHMED DURAKOVIC
Farah Suhaidah Othman
sukan@nstp.com.my


IPOH: Ketua Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic bagaikan tidak percaya anak buahnya mampu memberikan aksi terbaik pada pusingan kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Kitchee SC walaupun tanpa beberapa pemain utama yang dilanda kecederaan.

Durakovic nyata bangga dengan prestasi dipamerkan anak buahnya dan mengharapkan mereka akan terus melakar kejayaan pada pusingan ketiga bertemu wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai nanti.

Menurutnya, jadual perlawanan yang padat memerlukannya untuk berhati-hati dalam menyenaraikan pemain kerana bimbang krisis kecederaan lebih teruk akan dihadapi sekali gus akan merencatkan persiapan pasukan.

“Terlalu banyak perlawanan yang pasukan ini harus harungi, Jumaat ini kita akan ke Kuala Lumpur manakala Jumaat lalu baru sahaja lawan Kedah dan malam tadi menentang Kitchee SC.

“Pemain saya bukan mesin dan saya tidak mempunyai skuad yang besar malah beberapa pemain cedera, namun saya bangga kerana mereka mencipta sejarah malam ini (malam tadi),” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu di sini malam tadi.

Dalam perlawanan dramatik semalam, skuad ‘The Bos Gaurus’ diheret sehingga ke penentuan penalti selepas terikat 1-1 sebelum penjaga gol, Muhammad Hafizul hakim Khairul Nizam Jothy menjadi wira pasukan apabila menyelamatkan dua penalti lawan.

Beberapa perubahan pemain terpaksa dilakukan Durakovic pada perlawanan itu apabila menurunkan pertahahan kiri, Rafiuddin Roddin menggantikan Nazirul Naim Che Hashim yang mengalami kecederaan serta tidak dapat menggunakan khidmat pertahahanan import tengah, Zac Anderson.

Durakovic berkata, dia mengakui pasukannya gagal menafaatkan beberapa peluang terhidang selepas melakukan asakan bertali arus ke kubu pelawat sehingga memaksa perlawanan diheret ke penentuan penalti.

“Peluang terhidang gagal dimanfaatkan termasuk beberapa sepakan sudut dilakukan walaupun Kitchee bermain dengan 10 pemain dan kelalaian akhirnya dihukum dengan gol penyamaan lawan pada empat minit terakhir perlawanan.

“Namun saya memuji pemain yang tidak mudah menyerah kalah apabila terus melakukan asakan sehingga ke penghujung permainan dan berjaya memenangi perlawanan menerusi penentuan sepakan penalti,” katanya.

Menurut Durakovic, dia mengharapkan beberapa pemain yang dibelenggu kecederaan akan cepat pulih sebelum perlawanan menentang Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super Jumaat ini dan kemudiannya memberikan fokus kepada perlawanan menentang Ulsan Hyundai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 2:35 PM