HAFIZH pertahan kemenangan tahun lalu.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


SEPERTI dijangka pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah memenangi Anugerah Pelumba Antarabangsa Terbaik PETRONAS di Majlis Anugerah PETRONAS SIC Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) hari ini sekali gus mempertahankan kemenangannya tahun lalu.

Pelumba Red Bull KTM Tech3 itu yang mencipta sejarah muncul pelumba pertama negara beraksi di kelas utama di Kejohanan Motosikal Dunia juga memenangi Anugerah Pilihan Ramai yang dilakukan menerusi undian dalam talian.

Hafizh bagaimanapun tidak dapat hadir kerana perlu tampil pada majlis memperkenalkan pasukan KTM Tech3 di Austria. Jazeman Jaafar pula mendominasi Anugerah Pemandu Antarabangsa Terbaik PETRONAS selepas meraih kejayaan di Kejohanan Endurance Dunia bersama dua lagi rakan senegara, Nabil Jeffri dan Weiron Tan.

Jazeman bersama dua gandingannya itu yang beraksi bersama pasukan Jackie Chan DC X Jota Racing, mencipta sejarah apabila muncul pasukan pertama Malaysia beraksi di saingan LeMans 24 Jam di Perancis yang menyaksikan mereka menamatkan perlumbaan di tempat keempat kelas LMP2.

Trio itu juga memenangi muncul pelumba Asia pertama memenangi pusingan keempat Kejohanan Endurance Dunia di perlumbaan 6 Jam di Fuji sekali gus menyaksikan mereka turut disenaraikan dalam Dewan kemasyhuran Permotoran Malaysia 2018.

Hafizh dan Jazeman adalah pelumba yang sebelum di bawah tajaan Program Pembangunan Bakat PETRONAS.

Sementara itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir pada majlis itu menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup kerana sumbangan dan sokongannya terhadap industri sukan permotoran di negara ini.

Bermula dengan tercetusnya idea kereta kebangsaan, ia membuka ruang kepada pembangunan bakat tempatan serta teknologi dalam industri automotif dan secara tidak langsung menjadi pencetus kepada pembinaan Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) yang menjadi sumber inspirasi buat rakyat Malaysia menempa nama dalam sukan permotoran baik di dalam negara mahupun antarabangsa.

Tun Dr Mahathir adalah individu pertama yang menerima anugerah ini selepas tiga edisi majlis berprestij itu dianjurkan.

Sementara itu, wartawan Berita Harian, Sukhairi Thani memenangi Anugerah Wartawan Terbaik (SIC-MAM-SAM) manakala Hasnida Hanim dan Aji Saregar dari TV3 memenangi Anugerah Media Elektronik Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 10:15 PM