REZAL ZAMBERY YAHYA
Meor Riduwan Meor Ahmad dan Firdaus Hashim
sukan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bercadang mewujudkan tabung khas dengan sumbangan minimum RM1 bagi mengumpul dana membantu pemain yang berdepan masalah tunggakan gaji.

Ideanya, jika sejuta warga bola sepak membabitkan pemimpin, jurulatih, pemain dan peminat menyumbang RM1 seorang, tabung itu kelak boleh mencecah minimum RM1 juta, sekali gus boleh meringankan beban pemain yang menjadi mangsa keadaan.

Buat masa ini PFAM bercadang untuk mengkaji kaedah berkenaan sebagai pelan ‘B’ sekiranya isu tunggakan gaji terus menghantui pemain yang menjadi mangsa tunggakan gaji.

Presidennya, Rezal Zambery Yahya berkata, penubuhan tabung itu mampu dilaksanakan melalui komitmen semua pihak termasuk persatuan bola sepak dan peminat, namun menegaskan keutamaan PFAM ketika ini adalah untuk mempercepatkan proses kes yang masih tertangguh di peringkat Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Boleh diketengahkan (penubuhan tabung khas) sebagai pilihan, tapi bukan dalam masa terdekat ini kerana kita masih mempunyai banyak kes tertangguh,” katanya dihubungi Arena Metro di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut di peringkat exco kerana penubuhan tabung itu perlu ada ketelusan.

“Kita juga boleh bekerjasama dengan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk minta sumbangan dana bagi mewujudkan tabung ini,” katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar ini berkenaan tunggakan gaji dalam kancah bola sepak negara yang diibaratkan ‘barah tahap empat’ apabila hutang lapan pasukan terhadap pemain mencecah hampir RM8.32 juta setakat musim lalu.

FAM mendedahkan enam pasukan iaitu Terengganu City FC, FELDA United, PDRM, Pulau Pinang dan terkini, Perlis berhutang RM4.48 juta membabitkan bayaran tertunggak kepada 22 pemain dan enam pegawai.

Mesyuarat Jawatankuasa Status FAM kali ke-10 yang bersidang 1 Februari lalu memutuskan semua pasukan yang masih memiliki tunggakan gaji serta lain-lain bayaran diberi tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan untuk melunaskan semua tunggakan berkenaan.

Mengulas lanjut, Rezal Zambery berkata, menerusi tabung itu mana-mana pihak termasuk peminat serta pemain yang berhasrat membantu boleh berbuat demikian dengan sumbangan minimum RM1.

Beliau berkata, pihaknya juga mengalu-alukan jika ada pemain daripada pasukan lain ingin membantu rakan mereka yang berdepan kemelut kewangan akibat masalah tunggakan gaji.

“Jika selepas ini ada persatuan tidak bayar gaji pemain untuk tempoh lama, mungkin kita boleh keluarkan dana tabungan itu dan agihkan sementara tunggu mereka dapat gaji sebenar.

“Namun, bila tunggakan selesai, pemain terbabit kena ganti semula dana itu untuk dimasukkan dalam tabung bagi disalurkan kepada pihak lain pula yang memerlukan.

“Tabung bantuan hanya sementara saja, keutamaan pada persatuan atau kelab untuk membayar gaji pemain dan pegawai. Kita tidak mahu ada persatuan atau kelab bola sepak ambil kesempatan dan lepas tangan untuk membayar gaji pemain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 9:19 AM