SCHOLES memperagakan jersi pasukan barunya Oldham Athletic ketika diperkenalkan kepada media di Oldham, hari ini. - FOTO Reuters
AFP

BEKAS pemain tengah Manchester United dan England, Paul Scholes dilantik sebagai pengurus Oldham Athletic, umum kelab itu hari ini.

Scholes, 44, memegang jawatan pengurus kali pertama, mengikat kontrak dengan kelab yang disokongnya ketika kecil selepas menghabiskan kariernya di Old Trafford.

Bekas kelab Liga Perdana Inggeris itu menghuni tangga pertengahan League Two, divisyen keempat bola sepak Inggeris.

“Oldham Athletic bangga mengumumkan pemain legenda Paul Scholes sebagai pengurus baru pasukan utama dengan kontrak satu setengah tahun,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan.

“Paul menang segala-galanya dalam bola sepak,” kata pemilik kelab Abdallah Lemsagam. “Beliau akan membawa pengetahuan mengenai bola sepak dan keghairahannya untuk berjaya dalam pengurusan boleh dilihat.

“Bukan rahsia beliau mahukan tugas ini sebelum ini dan betapa beliau sayangkan kelab ini, jadi saya amat gembira beliau menyertai keluarga kami di Oldham Athletic.”

Scholes, yang mempunyai saham dalam kelab bukan liga Salford, akan meletakkan jawatannya sebagai pengarah kelab National League itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 11:53 PM