LLORIS beri amaran Spurs perlu gandakan usaha berdepan pasukan gergasi dalam saingan Liga Juara-Juara. FOTO Reuters
AFP

HUGO Lloris memberi amaran Tottenham perlu meningkat jika mereka mahu mengalahkan Borussia Dortmund pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini selepas persembahan kurang bagus menentang Leicester.

Penjaga gol Perancis berusia 31 tahun itu - yang menjadi kapten negaranya menjulang Piala Dunia tahun lalu - menyelamatkan sepakan penalti Jamie Vardy pada babak kedua dan melakukan beberapa tindakan penyelamat ketika Spurs menang 3-1 di Wembley untuk kekal dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Sekalipun keputusan itu menggambarkan kemenangan mudah buat anak buah Mauricio Pochettino, yang menghuni tangga ketiga Liga Perdana, lima mata di belakang Manchester City dan Liverpool, Leicester kelihatan berbahaya dan melakukan 20 percubaan tepat ke arah gol.

“Leicester bermain dengan fantastik dan saya fikir kami menang perlawanan ini kerana semangat dan karakter kami,” kata kapten Spurs, Lloris menjelang aksi pertama, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

“Tanpanya, kami tidak boleh menang perlawanan ini. Saya fikir kami perlu meningkatkan persembahan pasukan. Kami menang tapi menentang pasukan besar kami tidak boleh menang dengan cara sebegini. Terpulang kepada kami.”

Spurs menewaskan Borussia Dortmund dua kali pada peringkat kumpulan musim lalu namun pendahulu liga Jerman itu tampil berbeza pada kempen kali ini dengan mendahului lima mata di depan Bayern Munich di puncak carta liga.

“Mereka bermain bola sepak yang fantastik,” kata Lloris. “Mereka mempunyai ramai pemain yang bagus dan saya tidak terkejut mereka berada di puncak liga Jerman.

“Pengurus mereka amat bagus dengan idea bola sepak yang hebat. Ia pasti sukar. Kami perlu meningkatkan persembahan sepasukan, berbanding hari ini (Ahad) dan kami perlukan penonton membakar semangat kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 10:45 PM