KHUZAIMI dibawa menaiki ambulans ketika menentang PKNS FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu. - FOTO Eizairi Shamsudin
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my


“INILAH kali pertama saya pengsan ketika bermain bola,” kata pertahanan kental Melaka United, Ahmad Khuzaimi Piee.

Khuzaimi terkena bola yang menuju tepat ke rusuk berhampiran dada kanannya ketika perlawanan Liga Super berdepan PKNS FC di Shah Alam Sabtu lalu lantas dikejarkan ke Hospital Shah Alam.

Lebih mengejutkan dia mengeluarkan muntah lendir ketika dibawa keluar dari padang dan pandangannya kabur serta gelap dalam sekelip mata.

“Saya pengsan dan dibawa menaiki ambulans ke hospital. Namun saya bersyukur selepas diberi bantuan penafasan dan oksigen saya mula sedar dalam perjalanan untuk mendapat rawatan lanjut.

“Saya berterima kasih dengan bantuan pantas unit kesihatan, pegawai perlawanan, keselamatan, individu dan hospital,” katanya.

Menurutnya, keprihatinan semua pihak termasuk pengurusan dan peminat mencetus kekuatan semangatnya untuk segera pulih.

Apa yang menggembirakannya dia tidak mengalami kecederaan serius selepas pemeriksaan lanjut termasuk menjalani ujian imbasan x-ray.

“Bagaimanapun, rasa sakit di bahagian dada masih ada tapi saya yakin ia akan pulih tidak lama lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 10:00 PM