ABU SAMAH (gambar kecil) bimbang isu tarikh akan menjejaskan maruah dan imej PKBM. FOTO Ghazali Kori
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@mediaprima.com.my


PERTIKAIAN mengenai tarikh perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 mencetus kebimbangan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Apa tidaknya, beberapa pasukan sudah dijemput untuk bertanding pada tarikh asal 24 hingga 31 Mac depan, tarikh yang bertembung dengan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) bermula pada 26 Mac.

“Jangan sampai ia tidak dapat dianjurkan kerana masalah dalaman. Ia sudah pasti akan menjejaskan maruah dan imej. Malah ia mengundang tindakan tegas UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) termasuk denda dan taraf perlumbaan diturunkan,” kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kelmarin dilaporkan berkata, pihak yang berkepentingan masih mencari jalan penyelesaian terbaik bagi penganjuran LTdL 2019 yang dikatakan hampir dengan LIMA‘19.

LTdL 2019 yang memasuki edisi ke-23 didaftarkan kepada UCI dengan tarikh perlumbaan sudah ditetapkan dari 24 hingga 31 Mac namun kontraktor yang dilantik, Human Voyage (M) Sdn Bhd dilaporkan mahu menundanya kepada April.

Ia bukan sesuatu yang mudah kerana membabitkan pasukan Pro Tour dan profesional benua yang sudah mempunyai perancangan rapi.

“Kejohanan lumba basikal lebuhraya Asia berlangsung pada April yang mungkin mengundang rasa kurang senang Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) untuk memberi kebenaran. Malah tempoh semakin singkat.

“Hingga kini PKBM masih belum mendapat surat rasmi mengenainya, hanya melalui media,” tegasnya.

Exco PKBM akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan lebih lanjut mengenai masalah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 9:54 PM