PERLIS (jersi kuning) meraih kemenangan pertama dalam Liga Perdana mengalahkan UiTM FC di Shah Alam, Jumaat lalu. - FOTO BERNAMA
BERNAMA

PERSATUAN Bolasepak Perlis (PFA) yakin pemain pasukan itu tidak terbabit dalam gejala rasuah atau bookie.

Presidennya Datuk Ahmad Amizal Ahmad Rafie berkata, beliau menaruh sepenuh kepercayaan terhadap pemain meskipun persatuan itu berdepan masalah tunggakan bayaran gaji.

“Saya penuh percaya pemain Perlis tidak akan membabitkan diri dengan perbuatan haram itu kerana mereka lebih sayangkan karier masing-masing,” katanya hari ini.

Beliau diminta mengulas pendedahan seorang bekas pemain Liga Perdana yang mendakwa pernah didekati bookie selepas mengetahui pasukan diwakilinya mempunyai masalah tunggakan gaji.

Pemain itu dilaporkan terpaksa meninggalkan sukan yang diminatinya selepas majikan gagal membayar gajinya sepanjang musim lalu.

PFA menjadi tumpuan media susulan kegagalan persatuan itu melunaskan bayaran gaji untuk pemainnya sepanjang musim lalu dan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 9:39 PM