TEONG Kim gagal mengemudi kejayaan pasukan remaja negara pada Kejohanan B-16 Asia di Kuala Lumpur, September lalu. - FOTO Eizairi Shamsudin
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@mediaprima.com.my


LIM Teong Kim kini ditugaskan mengasah pemain muda berbakat antara usia 13 hingga 17 tahun.

Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu, yang tamat kontraknya 31 Oktober depan, diberikan tugas mencari serta mengasah sekurang-kurangnya 250 pemain berbakat bagi lima peringkat umur B-13, B-14, B-15, B-16 dan B-17.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan, bekas pemain kebangsaan itu diberi tanggungjawab menghasilkan pemain muda berkualiti menerusi sentuhannya.

“Beliau perlu menghasilkan pemain yang bagus. AMD dianggap sebagai pusat pemain terbaik bagi lima peringkat umur iaitu 13 hingga 17 tahun.

“Setiap peringkat umur mempunyai kuota seramai 50 pemain. Jadi tugas beliau adalah memaksimumkan kemampuan pemain.

“Kami tidak mempunyai sasaran yang spesifik kerana tempoh hari (Piala Dunia B-17) sudah gagal,” jelasnya selepas mempengerusikan jawatankuasa teknikal Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun Shapawi menegaskan beberapa kejohanan seperti peringkat Asia Tenggara dan Asia yang akan disertai skuad AMD boleh dijadikan sebagai ukuran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 7:30 PM