RAFIQ ketika memenangi pingat emas Masters lelaki pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Sunway Megalanes. - FOTO Danial Saad
Fabian Peter
fabian.mark@nstp.com.my


RAFIQ Ismail beruntung kerana diberi peluang oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk bertanding selama dua bulan pada Jelajah Persatuan Bowling Profesional (PBA) di Amerika Syarikat.

Juara dunia individu lelaki berusia 21 tahun itu akan memulakan saingan pada Kejohanan Pemain PBA hari ini sebelum beraksi pada Terbuka Indianapolis (19-24 Februari), Terbuka Jonesboro (26 Februari-3 Mac) dan Siri Bowling Dunia X (11-21 Mac).

Lebih menguntungkan Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) tidak meletakkan sebarang sasaran buat Rafiq dan hanya mengharapkannya untuk sekurang-kurangnya mara ke salah satu pentas final.

Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok ketika dihubungi berkata: “Rafiq sudah bersedia sepenuhnya dan dia tidak sabar untuk beraksi di siri jelajah itu.

“Tahap keyakinannya amat tinggi dan kami menjangkakan persembahan cemerlang daripadanya.

“Bagaimanapun kami tidak meletakkan sebarang sasaran tapi mengharapkan dapat menyaksikannya sekurang-kurangnya beraksi pada final yang disiarkan di televisyen.

“Meskipun tidak dapat memberikan bajet lebih besar kepada keseluruhan pemain lelaki (Jelajah PBA) dan skuad wanita (Jelajah PWBA), MSN tampil memberi bantuan untuk Rafiq berikutan prestasi cemerlangnya musim lalu.”

Selain memenangi pingat emas pada Kejohanan Bowling Lelaki Dunia di Hong Kong, Rafiq turut memenangi emas Masters lelaki pada Sukan Asia Indonesia, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 6:57 PM