LUCAS (kiri) dan jurulatihnya Alex ketika sidang media di Ipoh, hari ini. - FOTO L Manimaran
Farah Suhaidah Othman
sukan@nstp.com.my


PENYERANG Kitchee SC, Lucas Silva tidak memandang rendah keupayaan Perak pada aksi kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia di Ipoh, malam esok.

Penjaring terbanyak Liga Hong Kong itu sempat menyaksikan perlawanan antara Perak dengan Kedah di Stadium Perak, Jumaat lalu dan menghormati lawan yang akan ditemuinya nanti.

“Perak pasukan yang bagus... saya lihat perlawanan pada malam Jumaat (menentang Kedah) dan berasakan pasukan itu menerapkan corak permainan pantas serta mempunyai penyerang yang baik,” katanya.

“Tapi saya sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik kepada pasukan, bukan saja pada pertemuan malam esok, malah perlawanan lain juga,” jelas penyerang berusia 28 tahun dari Brazil itu.

Sementara itu jurulatih Kitchee, Alex Chu sedikit gusar dengan cuaca panas di Ipoh yang mencecah 34 Celsius amat berbeza dengan cuaca di negaranya sebelum mereka tiba di negara ini.

“Di Hong Kong, cuaca ketika ini lebih kurang 16 hingga 18 Celsius, namun apabila terpaksa berdepan dengan cuaca panas terik, ia mendatangkan sedikit kesulitan kepada anak buah saya untuk menyesuaikan diri.

“Namun saya harap semua pemain mampu memberikan aksi terbaik dalam usaha meraih kemenangan pada perlawanan malam esok,” katanya.

Alex juga sempat menonton aksi tuan rumah yang seri 1-1 dengan Kedah di Stadium Perak, Jumaat lalu dan berasakan kerana meraka tidak mudah untuk dijinakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 6:08 PM