DURAKOVIC (dua dari kiri) dan kapten Perak, Shahrul Saad (kiri) bersama jurulatih Kitchee, Alex Chu (dua dari kanan) dan Lucas Silva pada sidang media di Stadium Perak. - FOTO L Manimaran
Farah Suhaidah Othman
sukan@nstp.com.my


HARUS berwaspada dengan ketajaman penyerang Kitchee SC pada aksi kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia di Stadium Perak, Ipoh, malam esok.

Begitulah nasihat jurulatih Perak, Mehmet Durakovic yang mahu anak buahnya tidak mengambil mudah kehebatan kelab dari Hong Kong itu yang mempunyai penjaring terbanyak liga Lucas Silva.

“Kitchee mempunyai penyerang yang bagus dan banyak pengalaman, pemain tempatan dan import juga antara gandingan yang mantap, jadi tentunya esok adalah perlawanan yang hebat buat kami.

“Penyerang mereka (Lucas) juga amat bahaya dan pemain saya perlu berwaspada,” katanya pada sidang media praperlawanan hari ini.

Durakovic berkata, peluang bermain di laman sendiri seharusnya dimanfaatkan semua pemain dengan menampilkan aksi bertenaga dan cemerlang di depan ribuan penyokong sendiri.

“Sejujurnya, (perlawanan) ini peluang terbaik buat anak buah saya untuk mempamerkan aksi terbaik kerana menentang antara pasukan kelab terbaik.

“Saya tahu bagaimana keadaannya ketika menjadi pemain dan jurulatih (apabila berdepan dengan pasukan terbaik), jadi saya mahu mereka menghargai pengalaman ini, tidak gentar dan menjadikan perlawanan ini antara yang terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai kesebelasan utama, Durakovic menegaskan perkara itu akan diputuskan esok kerana ada beberapa pemain mengalami kecederaan dan berharap mereka pulih sebelum sepak mula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 5:35 PM