PENYOKONG dan kelab Nantes memberi penghormatan terakhir kepada penyerang Argentina, Emiliano Sala ketika perlawanan Ligue 1 menentang Nimes, pagi tadi. FOTO AFP
AFP

NANTES, Perancis: Nantes memberikan penghormatan terakhir kepada penyerang Argentina, Emiliano Sala yang terbunuh dalam tragedi pesawat bulan lalu, ketika perlawanan Ligue 1 menentang Nimes, pagi tadi.

Kelab yang dikenali sebagai Canaries kerana jersi berwarna kuning, Nantes memilih set jersi hitam kali ini dengan tertera nama Sala di belakang setiap jersi.

Tiket untuk perlawanan itu dijual sebanyak sembilan euro (RM41.50) sebagai simbolik kepada jersi yang dipakai Sala.

Pemain Nimes masuk ke padang dengan menuju ke tempat duduk Nantes dan meletakkan bunga di depan kain rentang yang didekasikan kepada Sala yang tertulis 'Emi Forever'.

Sekitar 37,000 penyokong turut bertafakur selama seminit apabila potret gergasi yang memaparkan gambar Sala dibawa masuk ke kawasan sepak mula disusuli tepukan gemuruh oleh penyokong.

Jurulatih Nantes, Vahid Halilhodzic yang pernah menyarung jersi nombor 9 kelab itu, berkata dia amat terkesan dengan kematian Sala yang disifatkannya sebagai 'insan yang penyayang'.

"Dia meninggalkan kesan mendalam kepada kelab, kematiannya amat mengejutkan semua," katanya.


Pemain Lyon, Nabil Fekir (tengah) dihalang dua pemain Strasbourg. FOTO AFP.

Pengendali dari Bosnia itu yang pernah mengemudi Lille dan PSG, dan yang terbaru membimbing Algeria dan Jepun, berkata sukar buat pasukannya menerima kenyataan itu.

"Jelas sekali ia satu mimpi ngeri untuk kami," katanya selepas melihat Nantes tewas 4-2 kepada Nimes meskipun pada satu ketikanya mendahului aksi 2-0.

"Tetapi tidak sesekali kami mahu melepaskan kelebihan itu dan membenarkan lawan menjaringkan empat gol di laman sendiri. Bermula saat ini saya mahu pemain bertarung untuk mengelak penyingkiran."

"Pemain kelihatan gugup dan ia bukannya sesuatu yang mudah untuk ditangani," katanya.

Nimes kini melonjak ke tangga ke-10 liga manakala Nantes di kedudukan ke-15 hanya dipisahkan lima mata daripada zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 11:15 AM