Pemain Barcelona Lionel Messi (kanan) melakukan rembatan sambil dihalang pemain Athletic Bilbao, Inigo Martinez dalam perlawanan La Liga. FOTO Agensi
Reuters

BILBAO: Pendahulu La Liga, Barcelona memberi peluang kepada pencabar terdekatnya, Real Madrid untuk perebutan juara liga ketika seri tanpa jaringan menentang Athletic Bilbao, pagi tadi.

Aksi tangkas penjaga gawang Marc-Andre ter Stegen menyelamat beberapa percubaan merbahaya di jaring gol turun membantu Barcelona daripada mencatat kekalahan mengejut.

Penjaga gol Jerman itu dua kali menafikan percubaan penyerang Inaki Williams dan Markel Susaeta dalam perlawanan yang cukup menghiburkan dan memberi tekanan kepada juara liga itu.

Barca berada di tangga teratas liga dengan memungut 51 mata selepas 23 permainan, enam mata di hadapan Real Madrid.

Ketika Lionel Messi yang bergelut dengan prestasi sebenar, tanpa kehadiran pertahanan kiri berpengaruh, Jordi Alba yang digantung perlawanan, Barca dilihat beraksi di tahap kemampuan sebenar, mencipta beberapa peluang dan beraksi bertahan di penghujung permainan pada ketika Bilbao terus mengasak.

Jurulatih Barca, Ernesto Valverde tetap yakin dengan kemampuan pasukannya mempertahankan kedudukan dalam buruan juara liga walaupun mereka tercicir empat mata dalam sembilan hari lalu.

“Kami tampil minggu ini sama seperti minggu lalu dan masih berada di kedudukan teratas malah jika pengiraan saya betul kami akan terus kekal di puncak liga minggu depan,” katanya.

“Ini adalah musim yang panjang dan kami harus berada di tangga teratas sehingga tamat.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 10:20 AM