Edinson Cavani. FOTO Agensi
Reuters

EDINSON Cavani mungkin tidak dapat beraksi buat Paris St-Germain (PSG) dalam kempen Liga Juara-Juara menentang Manchester United selepas pemain itu mengalami kecederaan paha ketika membantu pasukannya menewaskan Bordeaux, 1-0 dalam saingan Ligue 1, pagi tadi.

Penyerang kebangsaan Uruguay dilihat meninggalkan padang pada separuh masa permainan dalam keadaan memegang pahanya selepas dia menyudahkan jaringan penalti pada minit ke 42 permainan.

Juara Perancis itu sudah kehilangan khidmat penyerang Brazil, Neywar yang mengalami kecederaan kaki pada ketika pasukan itu akan berhadapan aksi pertama 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini.

“Jujur saya tidak tahu sama ada dia akan bermain nanti. Memang situasi ini sangat merisaukan. Kami tidak mempunyai pemain seperti Edi (Cavani) sama juga seperti seorang lagi Neymar dalam pasukan,” kata jurulatih PSG Thomas Tuchel.

Cavani mengalami kecederaan ketika perlawanan menentang Bordeaux dalam saingan Ligue 1.

Pemain tengah Itali, Marco Verratti juga tidak dapat beraksi akibat kecederaan.

“Masih banyak plan B, tanpa ketiga-tiga pemain ini dan kita mungkin mempunyai perancangan khas,” kata pengendali dari Jerman itu.

“Situasi memang sukar. Jika kami kehilangan beberapa pemain dan cabaran pastinya lebih kuat. Namun kami pasti bersedia untuk perlawanan itu nanti.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 9:01 AM