SOLSKJAER mahu United utamakan perlawanan menentang Fulham. FOTO Reuters
AFP

MANCHESTER, United Kingdom: Ole Gunnar Solskjaer memberi amaran kepada pemain Manchester United agar tidak terlalu memberi tumpuan terhadap aksi Liga Juara-Juara berdepan Paris Saint-Germain, sebaliknya fokus mengekalkan prestasi terbaik Liga Perdana Inggeris berdepan Fulham malam esok.

Kunjungan ke Craven Cottage hadir tiga hari sebelum aksi pertama 16 pasukan terakhir berdepan juara Perancis itu di Old Trafford.

Perlawanan itu juga adalah pembuka tirai untuk tiga perlawanan penting United dalam tempoh 13 hari dengan kunjungan ke Chelsea untuk pusingan kelima PIala FA sebelum menanti kunjungan Liverpool dalam aksi Liga Perdana.

Tujuh kemenangan dan satu seri sejak Solskjaer tampil pengendali sementara pada 19 Disember, mencerahkan peluang United berada dalam kelompok empat teratas.

Mereka kini di tangga kelima menjelang aksi hujung minggu itu, hanya dua mata di belakang Chelsea, namun mampu melonjak ke tangga keempat jika menewaskan pasukan kedua tercorot Fulham, sehari sebelum skuad Maurizio Sarri berkunjung ke Manchester City pada Ahad.

Solskjaer mahu memastikan United tidak hilang fokus dan memperbaiki aksi berbanding di Leicester hujung minggu lalu, meskipun sekadar menang 1-0 di Stadium King Power.

“Sudah tentunya anda menanganinya satu demi satu dan itulah sasaran yang kami letakkan, menghampiri empat pasukan teratas.

“Jika kami berjaya melakukannya, kami mahu kekal di sana dan terus memperbaiki kedudukan,” kata pengendali dari Norway itu.

“Sudah pasti, dua bulan lalu sungguh menakjubkan dengan mata yang kami perolehi, jadi kami perlu konsisten, terus menang tetapi dengan cara lebih baik berbanding di Leicester.

“Saya rasa kami terlalu bertahan. Ia cukup bagus tetapi kami tidak boleh gembira dengan sekadar cukup bagus.”

“Saya sedar fokus media adalah perlawanan PSG, begitu juga Chelsea dan Liverpool, tetapi ia bukan perlawanan yang akan melonjakkan kami di carta liga buat masa ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 9:38 PM