MESSI atasi Ronaldo, Griezmann dalam senarai 10 pemain dengan gaji paling mahal sebulan sebelum cukai di liga Eropah. - FOTO AFP
Daily Mail

LIONEL Messi muncul pemain dengan gaji termahal di dunia apabila dia membawa pulang £7.3 juta (RM38.5 juta) sebulan sebelum cukai – hampir sekali ganda nilai diterima Cristiano Ronaldo di Juventus.

Dalam laporan tahunan L’Equipe, akhbar Perancis itu mendedahkan nama 10 pemain dengan gaji termahal di Eropah secara bulanan sebelum cukai.

Daripada 10 pemain itu, lima beraksi di Sepanyol, dua masing-masing di Perancis dan England manakala seorang pemain saja di Itali.

Bukan menjadi rahsia lagi pemain zaman moden dibayar gaji lumayan namun jumlah diterima Messi secara bulanan amat luar biasa.

Bintang Barcelona itu mengikat kontrak baru pada November 2017 yang melonjakkannya ke puncak carta, mengatasi musuh lama Ronaldo di tangga kedua yang menerima £4.1 juta (RM21.6 juta) sebulan sebelum cukai.

Agak mengejutkan, di tangga ketiga Antoine Griezmann dari Atletico Madrid yang menerima £2.9 juta (RM15.3 juta) sebulan selepas dia menyambung kontrak sebelum Piala Dunia tahun lalu.

Ia diikuti pemain Paris Saint-Germain, Neymar yang dilaporkan menerima £2.7 juta (RM14 juta) sebulan manakala Luis Suarez melengkapkan senarai lima teratas dengan gaji bulanan £2.5 juta (RM13 juta).

Pemain Real Madrid, Gareth Bale (£2.2 juta = RM11.6 juta), Philippe Coutinho (£2 juta = RM10.5 juta), Alexis Sanchez (£2 juta = RM10.5 juta), Kylian Mbappe (£1.5 juta = RM7.9 juta) dan Mesut Ozil (£1.4 juta = RM7.4 juta) melengkapkan senarai 10 teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 11:25 AM