CAICEDO menyempurnakan gol tunggal perlawanan menerusi sepakan penalti menentang Empoli di Rome, awal pagi tadi. - FOTO EPA
AFP

FELIPE Caicedo menyempurnakan sepakan penalti ketika Lazio melonjak ke tangga keempat dan tempat ke Liga Juara-Juara awal pagi tadi dengan kemenangan 1-0 ke atas pasukan bermasalah Empoli dalam Serie A.

Pemain kebangsaan Ecuador, Caicedo memaksa penalti sebelum rehat dan meledak masuk bagi gol keduanya dalam dua perlawanan, ketika Lazio memanaskan badan bagi aksi Liga Europa menentang Sevilla dan separuh akhir Piala Itali menentang AC Milan.

Kelab dari Rome itu merudum selepas dua kekalahan kepada Juventus dan Napoli namun susulan kemenangan ke atas Frosinone minggu lalu mereka kini mengumpul 38 mata daripada 23 perlawanan, mengatasi AC Milan yang ketinggalan dua mata di tangga kelima sebelum bertemu Cagliari, Ahad ini.

AS Roma kendalian Eusebio Di Francesco bertandang ke Chievo awal pagi esok dalam usaha membina momentum sebelum aksi Liga Juara-Juara menentang FC Porto.

Di belakang pendahulu Juventus, yang meraih 60 mata daripada 22 perlawanan dan pasukan tangga kedua Napoli, dua baki tempat ke Liga Juara-Juara dan Liga Europa masih menjadi buruan 10 pasukan.

Pasukan tangga ketiga Inter Milan masih mencari kemenangan pertama tahun ini selepas seri dengan Sassuolo dan kalah di tangan Torino dan Bologna.

Anak buah Luciano Spalletti mengumpul 40 mata namun kini hanya dua mata di depan Lazio.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 8:37 AM