LINGARD yakin kepimpinan Solskjaer. FOTO Reuters
AFP

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer membantu mengembalikan ‘Manchester United gaya lama’, malah meyakinkan Jesse Lingard bahawa mereka mampu mencabar gelaran Liga Perdana Inggeris musim depan.

Pemecatan Jose Mourinho Disember lalu disusuli pelantikan mengejut Solskjaer sehingga akhir kempen ini.

Pengendali dari Norway itu menang sembilan daripada 10 perlawanan dalam semua kejohanan dan rekod tanpa kalah itu membolehkan United merapati jurang dengan kelompok empat teratas sekali gus mengujakan hati peminat.

“Solskjaer dan Mike Phelan (penolongnya) berjaya membawa kembali ‘Manchester United gaya lama,” kata pemain tengah England itu kepada akhbar Daily Mail.

“Mereka tahu selok belok kelab itu, jadi kejayaan menguasainya dan berjaya membantu corak permainan kami adalah sesuatu yang sempurna.

“Solskjaer melakukannya dengan baik, tiada siapa boleh salahkannya.

“Beliau segera mendapat sokongan pemain. Beliau memberitahu kami mengenai harapan dan tekanan yang hebat di kelab ini tetapi kami perlu menanganinya dan bermain seperti pasukan United sejati.”

Lingard berkata, United yang kini dua mata di belakang pasukan di tangga keempat Chelsea dalam perburuan tiket Liga Juara-Juara menyasarkan kedudukan lebih baik musim ini.

“Kami akan mencabar gelaran musim depan jika terus dengan rentak sekarang,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

“Kami kembali kepada asas dan memenangi perlawanan dengan keputusan yang baik dan meledak banyak gol.

“Semua itu penting, asalkan kami menang perlawanan.”


GANDINGAN Solskjaer dan Mike mampu kembalikan United yang ‘lama’. FOTO Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 10:08 PM