GUARDIOLA (kanan) memerhatikan pemainnya Bernardo Silva dicabar pemain Everton, Lucas Digne (kiri) di Liverpool, awal pagi tadi. - FOTO Reuters
Reuters

“SAYA tak tahu sejauh mana kami boleh pergi, mungkin kami mati di tengah jalan, tapi kami tetap akan mencuba,” kata pengurus Manchester City, Pep Guardiola.

Pasukannya City kembali ke puncak carta Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi selepas menang 2-0 di Everton tetapi Guardiola tidak menjangkakan sesuatu seperti musim lalu boleh berulang.

City unggul dengan perbezaan gol di depan Liverpool namun anak buah Guardiola bermain satu perlawanan lebih berbanding pasukan kendalian Juergen Klopp. Tottenham pula lima mata di belakang di tangga ketiga.

Tahun lalu City merangkul kejuaraan dengan perbezaan 19 mata dan pada babak kedua kempen mereka hanya menanti masa untuk ditabal sebagai juara.

Namun ketika ia tidak sama tahun ini, Guardiola, pemenang kejuaraan di Sepanyol, Jerman dan England, sedar kembalinya mereka ke puncak liga tidak memberi banyak makna.

“Kami pendahulu, tapi ada baki 12 perlawanan, banyak perlawanan. Saya fikir kami akan keciciran mata harapnya kurang berbanding pasukan lain. Saya tidak fikir ada pasukan yang akan menang semua 12 perlawanan itu,” katanya.

“Kami bermain lebih satu perlawanan berbanding Liverpool dan jika mereka menang kami tidak berada di atas lagi,” ujarnya.

“Tapi berada di puncak lebih bagus. Liverpool masih perlu bermain perlawanan ini.

“Saya tidak terlalu memikirkan mengenainya tapi empat atau lima hari lalu kami mungkin ketinggalan tujuh mata, jadi ia satu pengajaran supaya tidak berputus asa,” kata jurulatih dari Sepanyol itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 10:36 AM