SOON Huat (kanan) dan Shevon tewas kepada pasangan senegara Peng Soon-Liu Ying pada suku akhir Masters Malaysia, bulan lalu. - FOTO Luqman Hakim Zubir
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


NIKMAT beraksi pada temasya Sukan Olimpik menjadi idaman pemain beregu campuran negara Goh Soon Huat.

Soon Huat yang bergandingan dengan Shevon Lai kini menghuni ranking ke-12 dunia namun mereka belum pernah bermain pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Justeru Soon Huat mengambil pendekatan tidak gentar dan turun ke gelanggang dengan semangat melawan bagi memastikan hasratnya menjadi kenyataan.

Dia juga tidak kisah jika gandingan senegara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying perlu ditentang dalam laluan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Memang kami menetapkan sasaran untuk melayakkan diri ke Olimpik. Selepas ini semua persiapan kami terarah kepada melaksanakan misi itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujar Soon Huat, selepas bermulanya pengiraan mata untuk melayakkan diri ke Tokyo, mereka akan terus memberikan persembahan sebaik mungkin namun dalam tempoh beberapa bulan sebelum itu mereka juga harus melakukan persiapan seperti dirancang.

“Kami ada beberapa bulan lagi untuk melakukan persediaan sebelum memasuki fasa kelayakan Olimpik. Bukan bermakna selepas itu kami baru serius, bermula dari sekarang kami sudah anggap setiap kejohanan amat penting.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 8:42 PM