KARIM enggan tunduk kepada gesaan meminta beliau melepaskan jawatan Presiden KOM. - FOTO Luqman Hakim Zubir
BERNAMA

PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim masih mempertimbangkan sama ada mahu mempertahankan jawatan presiden susulan publisiti buruk mengenai beliau dalam media.

Karim yang dilantik sebagai Presiden KOM pada 2014 berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan sekarang, sama ada beliau akan mempertahankan jawatan tertinggi itu semasa pemilihan KOM Jun depan.

“Bergantung kepada keluarga saya kerana mereka sudah muak membaca artikel yang diputar belit dalam media. Lagi pun masih terlalu awal, bila sudah sampai masanya barulah buat keputusan,” katanya hari ini.

“Saya menawarkan khidmat secara sukarela dalam KOM, tiada sesiapa yang membayar gaji saya termasuk kerajaan. Tunggu hingga pemilihan Jun ini, biarlah majlis kepimpinan tertinggi KOM membuat keputusan, sama ada mereka masih memerlukan khidmat saya atau sebaliknya,” katanya.

Karim diminta mengulas mengenai desakan beberapa pihak yang meminta beliau meletak jawatan presiden KOM selepas beliau dilucutkan jawatan dalam majlis Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) pada Mei lalu.

Beliau kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap keputusan panel penilai IAAF itu, tetapi badan kehakiman antarabangsa menolak rayuannya pada 17 Disember lalu.

Laporan media mengaitkan penyingkirannya dengan satu dokumentari yang disiarkan oleh badan penyiaran awam Jerman, ARD pada Mac 2016, menuduh Karim melindungi amalan doping di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 9:28 PM