PEMAIN JDT, Safawi Rasid terjatuh diasak pemain Perak, Leandro Dos Santos (kiri) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - FOTO Mohd Azren Jamaludin
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my


"KAMI tahu cara JDT bermain kerana mereka akan beri tekanan terutama dari posisi sayap kiri dan kanan selain bergerak di kawasan tengah. Sepatutnya pemain saya tidak terlalu ke bawah dan perlu sekat gerakan pemain lawan di bahagian tengah,” menurut pengendali Perak, Mehmet Durakovic.

Beliau mengakui tindakan barisan tengah dan pertahanan yang berada terlalu ke bawah dalam kawasan sendiri memberi ruang pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) menguasai perlawanan Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Pengendali dari Australia itu berkata, apabila pemain The Bos Gaurus berada terlalu ke bawah, ia memudahkan tugas barisan serangan skuad kendalian Luciano Figueroa memberi tekanan dan berjaya menjaringkan gol.

"Walaupun kami diasak namun berjaya menghalang pemain JDT mencipta jaringan sehinggalah gol tunggal perlawanan pada lima minit terakhir babak pertama, saya akui agak terkilan kerana pemain sebenarnya mampu menghalang jaringan itu sekiranya memberi sepenuh tumpuan.

"Apa pun saya enggan menyalahkan pemain dan kami berdepan dengan pasukan yang serba lengkap malah mampu beri tentangan menerusi gerakan berbahaya, saya akui ketiadaan Gilmar (Da Silva Filho) menjejaskan barisan serangan," katanya.

Durakovic berkata, walaupun ketinggalan 0-1, pemain Perak tetap bersungguh-sungguh memburu gol penyamaan tetapi ketajaman barisan serangan tampak kurang berkesan dan gagal membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 12:04 PM