MESSI (kanan) menjaringkan gol penyamaan Barcelona di Camp Nou, awal pagi tadi.
Reuters

BARCELONA: Lionel Messi membawa Barcelona kembali selepas ketinggalan dua gol dengan dua jaringannya memberikan keputusan seri 2-2 di laman sendiri berdepan Valencia awal pagi tadi seterusnya menyelamatkan pendahulu La Liga itu yang sebelum ini mencatat lapan kemenangan berturut-turut dalam liga.

Valencia dengan cubaan terkena palang pada minit kedua, di depan pada minit ke-24 dengan jaringan baik penyerang Perancis, Kevin Gameiro dan menggandakan kelebihan dengan penalti Dani Parejo pada minit ke-32.

Messi mengurangkan defisit tujuh minit kemudian dengan jaringan kesembilan berturut-turut dalam semua kejohanan menerusi penalti.

Kapten Barca itu kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-64 dengan sepakan lencong dari luar kotak penalti, mengelak kekalahan pertama buat pendahulu itu sejak November dan memberikan mereka 50 mata daripada 22 perlawanan.

Messi perlu menerima rawatan di tepi padang sejurus selepas jaringan berkenaan tetapi mampu meneruskan permainan hingga tamat.

Jurulatih Ernesto Valverde berkata, pemain Argentina itu mengalami sedikit ketegangan otot, menyebabkan timbul kebimbangan sama ada dia boleh bermain pada separuh akhir pertama Piala Raja Sepanyol berdepan Real Madrid.

“Kami perlu menanti sehingga dia menjalani ujian, saya tidak tahu kecederaannya, dia rasa tidak selesa. Saya tidak rasa ia sangat teruk tetapi saya tidak boleh beri sebarang maklumat,” kata Valverde. 

Skuad kendalian Valverde kini enam mata di depan pencabar terdekat Atletico Madrid, yang akan berkunjung ke Real Betis hari ini dan 11 mata di depan Real Madrid di kedudukan ketiga yang akan menanti kehadiran Alaves.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 9:54 AM