KARIM masih presiden KOM. FOTO/NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: “Saya masih lagi Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM). Tiada apa yang berubah,” kata Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim.

Karim menjelaskan perkara itu ketika diminta mengulas mengenai kedudukannya selaku presiden badan induk olahraga negara selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuannya.

Terdahulu Karim, memfailkan permohonan rayuan kepada CAS selepas Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) menggugurkan beliau daripada jawatan Ahli Majlis IAAF pada Ogos 2018 selepas panel penilai badan induk olahraga dunia mendapati beliau bersalah kerana melindungi amalan doping di Malaysia.

“Keputusan itu hanya membabitkan pelantikan IAAF dan ia tidak menjejaskan jawatan lain.

“Saya masih lagi Presiden KOM dan Ahli Majlis AAA (Persatuan Olahraga Asia) dan ia tidak akan menjejaskan apa-apa,” katanya.

Bagaimanapun Karim diarahkan untuk membayar kos proses timbang tara sebanyak 4,000 Swiss Franc (RM16,000) kepada IAAF oleh CAS selepas kalah dalam proses rayuan itu.

Karim sebelum ini memegang jawatan Ahli Majlis IAAF yang dilantik oleh Persatuan Olahraga Asia pada Oktober 2015.

Namun jawatan itu ditarik balik oleh IAAF selepas media Jerman, ARD menyiarkan dokumentari pada Mac 2016 yang mendakwa Karim melindungi amalan doping di negara ini.

Karim yang dilantik sebagai Ahli Majlis IAAF oleh Persatuan Olahraga Asia pada Oktober 2015, mengemukakan rayuan kepada CAS sebelum CAS membuat keputusan menolak permohanan itu pada 17 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 12:15 AM