Neymar
AFP

PARIS: Penyerang Paris Saint-Germain, Neymar akan terlepas kedua-dua aksi pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Manchester United selepas kelab Perancis itu mengesahkan hari ini pemain termahal dunia itu terpaksa diketepikan selama 10 minggu kerana kecederaan metatarsal.

Bagaimanapun Neymar tidak akan menjalani pembedahan dengan PSG menyatakan pemain Brazil berusia 26 tahun itu sebaliknya bersetuju dengan “rawatan konservatif” yang akan menyaksikannya kembali bagi aksi suku akhir Liga Juara-Juara April depan sekiranya mereka layak.

“Selepas analisis terperinci oleh pakar, keputusan dibuat bagi rawatan konservatif terhadap kecederaan metatarsal Neymar,” menurut juara Perancis itu.

“Dimaklumkan mengenai cadangan ini, penyerang kebangsaan Brazil itu bersetuju dengan protokol ini. Justeru, Neymar dijangka kembali ke padang dalam tempoh 10 minggu.”

Neymar mengalami kecederaan ketika kemenangan 2-0 PSG pada Piala Perancis menentang Strasbourg minggu lalu dan jurulatihnya Thomas Tuchel sudah menyatakan penyerang bernilai 222 juta euro (RM1.04 bilion) itu terpaksa diketepikan bagi aksi pertama menentang United di Old Trafford pada 12 Februari depan.

Aksi kedua perlawanan itu dijadualkan pada 6 Mac depan dan pengumuman kelab itu bermakna dia hanya boleh kembali bagi aksi suku akhir pertama dijadualkan pada 9 dan 10 April. Suku akhir kedua dilangsungkan seminggu berikutnya.

“Paris Saint-Germain memberikan sokongan terkuat dan galakan kepada Neymar Jr untuk mengatasi kecederaan ini seperti keazaman dan kesungguhan yang sering dipamerkan pemain itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 10:20 PM