HAZARUL mahu berjumpa dengan Tunku Ismail (gambar). FOTO/NSTP
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


KUALA TERENGGANU: Selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kekal dengan pendiriannya 'mengharamkan' pasukan Terengganu City FC (TCFC) beraksi dalam kancah Liga Perdana musim ini, pengurusan baharu skuad The Sharks itu merayu supaya  diberi peluang berjumpa dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Penaja baharu skuad itu, Datuk Mohd Hazarul Ifdaz Mohamed Rahim daripada syarikat Tulangis Group berkata, pihaknya berharap hasrat untuk berjumpa dengan Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL ) itu menjadi kenyataan.

"Kami begitu teruja berjumpa dengan Tunku Ismail untuk mengadu dan membincangkan beberapa perkara berkaitan pasukan TCFC dan kami harap permintaan ini mendapat perkenan daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu," katanya kepada Sukan NSTP.

Beliau berkata demikian selepas permohonan secara bersurat dan lisan untuk berjumpa dengan FAM bagi membincangkan status pasukan itu selain isu tunggakan gaji pemain dan jurulatih tidak dilayan dan dipandang sepi badan induk itu.

"Bermula Oktober tahun lalu lagi pengurusan baharu TCFC pergi ke FAM untuk menyelesaikan berkaitan tunggakan gaji dan beberapa perkara, namun apabila kami pergi, pihak FAM maklumkan tidak boleh berurusan dengan mereka sebab nama pengurusan baharu dan penaja (Tulangis Group) tidak ada dalam TCFC.

"Pada saya apabila setiausaha mereka sudah jawab, apa salahnya mereka panggil kami untuk berbincang bagi menyelesaikan kemelut itu. Bagi kami FAM seolah-olah ada pakatan dan helah untuk halang TCFC daripada beraksi dalam Liga Perdana kerana tidak panggil berbincang selain surat panggilan mesyuarat pun kami tidak terima.

"Justeru, kami merayu dan meminta jasa baik TMJ untuk berjumpa walaupun seketika," kata Hazarul yang menyatakan pengurusan baharu TCFC tidak pernah mengugut FAM berhubung syarat yang diberikan jika mahukan gaji pemain dan jurulatih selesai.

Sebelum ini, pengurusan baharu TCFC meletakkan syarat kepada FAM tidak akan membayar tunggakan gaji bekas pemain dan jurulatih skuad itu jika FAM berkeras tidak membenarkan pasukan itu beraksi dalam pentas Liga Perdana musim ini.

Ketika ditanya kenapa beliau mengambil keputusan sedemikian sekali gus menyebabkan pemain menjadi mangsa berhubung tunggakan gaji kerana FAM sudah mengekalkan keputusannya tidak membenarkan TCFC beraksi dalam saingan Liga Perdana, Hazarul menegaskan beliau bukan pemilik kelab itu.

"Saya bukan pemilik kelab itu, kami pengurusan baharu cuma hendak bantu pemain dan jurulatih, tapi jika FAM benarkan TCFC beraksi dalam Liga Perdana musim ini saya akan bayar semua gaji mereka di depan FAM.

"Namun, sekiranya FAM benarkan TCFC beraksi pada musim depan, kami akan bayar gaji pemain dan jurulatih pada musim depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 6:13 PM