CRISTIANO RONALDO
AFP

MILAN: Cristiano Ronaldo meneruskan perseteruan dengan penyerang Colombia, Duvan Zapata ketika Juventus membuat kunjungan ke Atalanta, bagi memburu tiket ke separuh akhir Piala Itali, esok. 

Juventus memenangi empat edisi terakhir kejohanan dengan mengesahkan kejuaraan ke-18 pada musim lalu, selepas menewaskan AC Milan di final, tetapi Atalanta berpotensi menjadi ‘pengacau’ seperti dibuktikan sebelum ini.

Pada aksi terakhir kedua-dua pasukan dalam kancah Serie A, Disember tahun lalu, Zapata menjaringkan dua gol untuk keputusan terikat 2-2 dengan ketajaman penyerang itu tampak masih belum tumpul. 

Zapata dan Ronaldo ketika ini dianggap pencabar dalam pemburuan anugerah Kasut Emas, dengan masing-masing sudah mengumpul lebih 15 gol. Penyerang Portugal itu menyumbat gol menerusi penalti ketika Juve meraih kemenangan sukar 2-1 ke atas Lazio, minggu lalu.

DUVAN ZAPATA

Di Bergamo, Zapata, 27, gagal menyempurnakan sepakan penalti, tetapi meledak gol penyamaan selepas Atalanta bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk mengikat AS Roma, 3-3. 

Ronaldo, 33, setakat ini sudah menjaringkan lapan gol di gelanggang lawan, termasuk gol kemenangan ketika menjulang Piala Super Itali dan Liga Juara-Juara untuk keseluruhan 17 jaringan buat Juventus.

Tetapi gergasi Itali itu tampak longlai ketika bertemu Lazio, dengan pemain gantian yang dimasukkan pada babak kedua, Joao Cancelo dan Federico Bernardeschi menyelamatkan mereka daripada berdepan masalah.

“Siapa yang dikeluarkan daripada bangku simpanan amat penting,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri. “Saya tidak gembira apabila tidak menyenaraikan Bernardeschi pada awalnya, tetapi kami perlu mengharungi perlawanan penting menentang Atalanta selepas ini.” 

Bagi menambah masalah, Juventus kehilangan pemain pertahanan, Leonardo Bonucci yang mengalami kecederaan buku lali namun, Miralem Pjanic, Sami Khedira dan Mario Mandzukic sudah kembali menjalani latihan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 11:44 AM