epa07322273 Atletico Madrid's forward Antoine Griezmann celebrates after scoring the 1-0 lead during the Spanish La Liga soccer match between Atletico Madrid and Getafe CF in Madrid, Spain, 26 January 2019. EPA/RODRIGO JIMENEZ
AFP

MADRID: Antoine Griezmann meledak gol buat Atletico Madrid ketika menewaskan Getafe 2-0 awal pagi tadi sekali gus memberi tekanan kepada Barcelona di tangga teratas La Liga Sepanyol.

Griezmann kini sudah meledak lapan gol dengan yang terbaru ketika membantu Atletico melakar kemenangan kali keenam dalam saingan liga. Mereka hanya mencicirkan mata ketika seri dengan Sevilla di tempat lawan.

Saul Niguez menambah gol kedua sebelum rehat untuk mengesahkan kemenangan Atletico ke atas Getafe yang hanya tewas sekali di tangan Barcelona dalam 12 perlawanan terakhir.

Getafe mampu bertahan hingga hujung perlawanan sekalipun selepas Djene Dakonam dan Leandro Cabrera dibuang padang.

“Sejak awal Januari pasukan sudah beraksi dengan baik. Kami berdepan masalah kecederaan dan saya fikir kami boleh meraih keputusan lebih baik sekiranya semua pemain cergas sepenuhnya untuk beraksi,” kata jurulatih Atletico, Diego Simeone.

Jurulatih Getafe, Jose Bordalas pula berkata: “Kami tidak beraksi dengan baik, tidak seperti kebiasaannya.”

Griezmann kemungkinan besar beraksi untuk Barcelona sekirnya membuat keputusan sebaliknya pada musim panas lalu tetapi dia kini menjadi tonggak penting Atletico.

Alvaro Morata mungkin menyertai Atletico bulan ini meskipun laporan di Sepanyol menyatakan urusan berpindahan dari Chelsea dilihat sukar untuk menjadi kenyataan.

Bagaimanapun dengan prestasi cemerlang Griezmann dan Diego Costa dijangka kembali beraksi bulan depan, Atletico dilihat tidak begitu terdesak untuk mendapatkan Morata yang dikatakan tidak disukai oleh peminat kelab itu.

“Mereka boleh kata apa saja. Tapi saya mencari pemain yang boleh memberi sumbangan kepada kelab dan pasukan,” kata Simeone.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 10:45 AM