Jun Hoong harap kecederaan lutut pulih. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Penerjun negara, Cheong Jun Hoong mengakui dia mahu kembali berlatih secepat mungkin namun dalam masa sama perlu memikirkan proses pemulihan kecederaan di bahagian lutut yang dialami pertengahan tahun lalu.

Menurut pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu, dia masih lagi belum sembuh 100 peratus dan masih lagi melakukan proses pemulihan seperti disarankan doktor.

"Setakat ini saya masih belum boleh memulakan latihan dan semuanya bergantung kepada laporan doktor (bila boleh mulakan latihan). Bagaimanapun, saya mengambil langkah berhati-hati dengan melakukan proses peringkat demi peringkat," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP.

Jelas, penerjun berusia 28 tahun itu, dia tidak dapat melakukan sebarang perancangan awal untuk musim ini dan hanya fokus kepada pemulihan kecederaan.

"Saya berharap dapat kembali secepat mungkin," katanya yang menjalani rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil.

Sebelum ini Jun Hoong dikhabarkan akan kembali berlatih pada Mac depan, sekali gus terlepas peluang untuk beraksi di Siri Piala Dunia pertama di Jepun (1 hingga 3 Mac).

Jun Hoong dijangka berlatih di bawah kendalian jurulatih baru dari China, Li Rui yang akan memulakan tugas selepas sambutan Tahun Baru Cina bulan depan.

Dia yang sebelum ini banyak dibentuk bekas jurulatih terjun negara juga dari China, Yang Zhuliang dijangka tidak berdepan masalah untuk berada di bawah bimbingan Li Rui.

Penerjun kelahiran Ipoh, Perak, itu sebelum ini mendedahkan dia lebih senang untuk berlatih di bawah kendalian pengendali dari China dan dalam masa sama tidak berdepan masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana jurulatih sekali pun.

Berusia 41 tahun Li Rui sebelum ini pernah mengendalikan salah sebuah kelab di Kanada selain melatih juara dunia, Si Yajie dan Qin Kai ketika zaman remaja mereka, akan bergandingan bersama-sama Li Teng dan Christian Brooker melatih skuad terjun negara.  

Selepas kehilangan Zhang Yakun, Li Rui dipilih menjadi jurulatih baharu untuk memacu skuad terjun negara menghadapi kelayakan ke temasya Olimpik Tokyo 2020.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 5:06 PM