SANCHEZ (kanan) cuba melepasi penjaga gol Arsenal, Petr Čech. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Penyerang Chile, Alexis Sanchez kembali menghantui bekas kelabnya dengan gol pembukaan ketika kemenangan 3-1 Manchester United ke atas Arsenal pada pusingan keempat Piala FA Inggeris, awal pagi tadi.

Dalam penampilan pertamanya di Stadium Emirates sejak meninggalkan utara London untuk ke Old Trafford setahun lalu, Sanchez melenyapkan ejekan terhadapnya untuk membantu permulaan memberangsangkan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus sementara United.

Sanchez dan Jesse Lingard meledak gol dalam tempoh dua minit pada babak pertama namun Pierre-Emerick Aubameyang merapatkan jurang sejurus sebelum rehat untuk menjanjikan kebangkitan buat tuan rumah pada babak kedua.

Arsenal mengalami tamparan besar susulan kecederaan apabila pertahanan Sokratis dan Laurent Koscielny kedua-duanya terpaksa dikeluarkan, sekalipun mereka bekerja keras mencari gol penyamaan pada separuh masa kedua.


PEMAIN United meraikan gol Sanchez. FOTO/AFP

Namun United, yang berada di tangga kedua di belakang Arsenal dalam senarai pemenang sepanjang zaman Piala FA dengan 12 kejuaraan, menyerap tekanan itu dan mencipta kemenangan kelapan berturut-turut buat Solskjaer dalam semua pertandingan pada minit ke-82 apabila pemain gantian Anthony Martial menampan masuk selepas satu serangan balas pantas.

Pada satu lagi aksi pusingan keempat, Bristol City menewaskan Bolton Wanderers 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 8:11 AM