AKSI Melaka United ketika menentang Sarawak. -Foto BERNAMA
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my


MELAKA: Melaka United (MU) bakal menutup saingan pramusim menentang skuad Liga Perdana, UiTM FC di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam esok.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Farhan Ibrahim berkata, perlawanan berkenaan adalah ujian terakhir buat skuad bimbingan jurulatih, Zainal Abidin Hassan menjelang aksi pembukaan Liga Super pada 2 Februari ini.

Menurutnya, ia juga kesempatan terbaik buat semua pemain menampilkan prestasi sebenar masing-masing terutama yang masih kurang menyerlah pada saingan pramusim sebelum ini.

Katanya, walaupun corak permainan MU dilihat kian mantap namun kekurangan yang masih ada diyakini akan dapat diatasi selepas tamat aksi menentang UiTM FC.

Beliau berkata, apapun terpulang kepada Zainal untuk terus menguji kemampuan anak buah berikutan keputusan perlawanan bukan gambaran sebenar bagi menghadapi aksi Liga Super berdepan MIFA pada 2 Februari ini.

"Bagi pihak persatuan, kita mengharapkan persiapan mantap dan pasukan juga berada dalam keadaan lebih bersedia berdepan MIFA. Berdasarkan beberapa siri pramusim termasuk di Vietnam, keseluruhan persembahan pasukan mempamerkan keserasian yang positif."

Justeru, pertemuan berdepan The Lion Troops kelak adalah peluang terbaik untuk memperbaiki kekurangan yang masih ada. Apapun kami yakin ia dapat diatasi melalui kepakaran barisan kejurulatihan," katanya.

Farhan turut menyeru semua peminat dan penyokong setia skuad Hijau Putih supaya meneruskan sokongan dengan membanjiti stadium bagi setiap perlawanan yang berlangsung di gelanggang sendiri dan lawan.

Baginya, sorakan ribuan penyokong pastinya merancakkan lagi kemeriahan Liga Malaysia khususnya membabitkan skuad Hang Tuah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 7:12 PM