RAMOS (kanan) ledak dua gol bantu Real banam Girona. FOTO/AFP
AFP

MADRID: Sergio Ramos meledak dua gol untuk membawa Real Madrid selangkah ke separuh akhir Piala Raja Sepanyol selepas bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Girona 4-2 pada aksi suku akhir pertama, awal pagi tadi.

Penalti Ramos meletakkan Real mendahului 2-1 pada separuh masa pertama di Santiago Bernabeu selepas Lucas Vazquez menyamakan kedudukan apabila Girona terlebih dulu di depan menerusi Anthony Lozano.

Pelawat begitupun kembali bangkit apabila Alex Granell menyempurnakan sepakan penalti sebelum Ramos kembali meletakkan Real mendahului menerusi tandukan, 13 minit sebelum aksi berakhir.

Penyerang kelahiran Perancis, Benzema melengkapkan jumlah jaringan Real untuk memperoleh kelebihan menjelang aksi kedua yang dijadualkan pada minggu depan di gelanggang Girona.

Ramos kini sudah menjaringkan sembilan gol dalam semua kejohanan musim ini dan menjadi antara tonggak kebangkitan buat kali kedua jurulatih Real, Santiago Solari. 

Selepas mengharungi permulaan mengagumkan, Solari menyaksikan skuad kendaliannya beraksi lesu pada tahun ini tetapi pasukan itu sudah menang empat daripada lima perlawanan terakhir.

“Bola sepak tidak pernah berhenti, kami akan menerima kunjungan Espanyol pada Ahad dan kami mahu menang untuk merapatkan jurang dengan pasukan di atas,” kata Solari. “Apabila kerja keras terbalas, perasaannya cukup menakjubkan.”

Real mengharungi peningkatan prestasi tepat pada masanya dengan Atletico Madrid turut menanti mereka dalam saingan La Liga diikuti aksi Liga Juara-Juara menentang kelab Belanda, Ajax, awal bulan depan.

Selepas ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Barca dalam kempen La Liga, Piala Raja Sepanyol menjadi sasaran realistik Real untuk menjulang trofi domestik musim ini dan Solari tampak melakukannya dengan bersungguh-sungguh. 

Beliau membariskan pemain terkuatnya termasuk menyenaraikan pemain yang bergelut dengan prestasi, Marcelo manakala Toni Kroos turut duduk di bangku simpanan sekali pun baru pulih daripada kecederaan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 8:58 AM