PEMAIN Terengganu City FC. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my

 

KUALA TERENGGANU: Pasukan Terengganu City FC (TCFC) bukan saja tidak mendapat 'pengampunan' daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana musim ini, malah skuad itu kini dikatakan sudah berpecah.

Berdasarkan maklumat diterima daripada beberapa pemain dan jurulatih yang kecewa dengan pihak pengurusan kelab itu kerana janji palsu, pemain kelab kini sudah tidak menjalani latihan berikutan kemelut melanda skuad berpangkalan di Terengganu itu.

Ini kerana 'kedegilan' skuad dikenali The Sharks itu mematuhi syarat ditetapkan badan induk bola sepak negara termasuk tidak membayar gaji pemain dan jurulatihnya berjumlah RM977,100 bermula 2017 hingga 2018.

Bekas jurulatih TCFC, Roshadi Wahab berkata, selepas menjuarai Piala FAM musim lalu skuad itu masih lagi bernafas kerana layak secara automatik beraksi dalam kancah Liga Perdana musim ini.

"Bagaimanapun selepas pemain mengetahui skuad itu diharamkan beraksi dalam saingan liga kerana tidak cukup syarat termasuk tidak membayar gaji pemain, pemain sudah tawar hati untuk berlatih.

"Berikutan itu kelab ini juga sudah 'berkubur', ada beberapa pemain mencuba nasib dengan pasukan lain selain ada yang mencari pekerjaan lain.

"Bagaimanapun saya difahamkan ada lagi sebahagian pemain masih setia dengan kelab itu menunggu berita gembira walaupun secara dasarnya pasukan itu tidak dibenarkan beraksi dalam kancah liga divisyen dua itu.

"Apa yang kami harapkan baik pengurusan lama atau baharu kelab harus dan wajib membayar gaji kami bukannya mengambil sikap lepas tangan selepas keputusan FAM itu," katanya kepada Sukan NSTP.

Pada 6 September tahun lalu, selepas muncul juara Piala FAM dengan menundukkan Selangor United 2-0, FAM menghantar surat kepada TCFC meminta kelab berkenaan menyelesaikan masalah tunggakan gaji selewat-lewatnya 29 September 2018. 

Surat berkenaan turut menyatakan bahawa semua hadiah wang tunai selaku juara, wang insentif peringkat kumpulan dan deposit penyertaan berjumlah RM355,000 dimiliki TCFC dengan sendirinya akan dibekukan sehingga semua hutang dijelaskan TCFC pada tarikh ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 10:33 PM