AKHYAR RASHID
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kini dalam fasa terakhir sebelum mengheret kes perpindahan kontroversi pemain muda negara, Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Menurut sumber terdekat KFA, kes berkenaan sudah difailkan kepada barisan peguam sejak dua minggu lalu dengan mereka kini dalam proses terakhir untuk mendakwa tiga pihak iaitu Akhyar, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Difahamkan, pendakwaan ke atas Akhyar disebabkan kegagalan pemain itu melaporkan diri pada sesi latihan bersama skuad Helang Merah pada 2 Januari lalu, meskipun KFA mendakwa masih memiliki kontrak yang sah sehingga penghujung musim ini.

Bagi pendakwaan ke atas skuad Harimau Selatan pula, kelab berkenaan didakwa menggunakan unsur ‘tapping up’ atau perbincangan melalui pintu belakang tanpa pengetahuan persatuan itu, selain turut mengheret FAM yang didakwa gagal menangani isu terbabit apabila menolak rayuan jumlah pampasan kontrak pemain lincah itu.

“Perkara ini (isu Akhyar) sudah di peringkat terakhir undang-undang oleh peguam persatuan. KFA perlu mengikut proses dan prosedur kerana isu ini bukan perkara kecil.

“Apa yang pasti, tiga pihak akan diheret dan segala maklumat mengenainya tidak boleh didedahkan. Biarlah peguam melakukan kerja mereka dan kita tunggu pengumuman rasmi daripada persatuan saja.

“Apapun, KFA tetap dengan pendirian dan tidak akan berganjak daripada matlamat asal untuk menuntut keadilan dan juga memperbetulkan sistem bola sepak negara supaya pasukan tidak lagi dibuli oleh sesetengah pihak,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Sebelum ini, KFA mengemukakan rayuan kepada FAM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Status FAM yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan badan induk itu yang bermesyuarat pada 28 Disember lalu mengekalkan keputusan bahawa pemain berusia 19 tahun itu hanya perlu membayar RM210,000 untuk menebus kontraknya bersama KFA, manakala pasukan baharunya perlu membayar RM75,000 kepada skuad Hijau Kuning itu.

Rentetan itu, KFA mahu mengheret kes berkenaan ke pengetahuan CAS dan turut melancarkan tabung bagi membiayai kos pengurusan kes itu di Switzerland yang difahamkan menelan belanja hampir RM100,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 9:35 PM