TRIO compound negara, Zulfadhli Ruslan (kanan) Kin Lip Lee dan Mohd Juwaidi Mazuki. FOTO Yazit Razali
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Trio compound negara membuat ‘pusingan U’ apabila memutuskan untuk terus mewakili negara di pentas antarabangsa terutamanya menjelang Sukan SEA 2019 di Filipina.

Keputusan berkenaan dicapai selepas Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip mengadakan pertemuan bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail serta pegawai Persekutuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), hari ini.

Jelas Juwaidi, mereka sudah menyuarakan pandangan dan mendapat penjelasan mengenai beberapa perkara dalam pertemuan di MSN itu.

"Ia berjalan lancar dan kami akan kembali mewakili negara dengan kontrak sebagai atlet sepenuh masa.

"Perkara berkaitan elaun sebenarnya tidak menjadi isu. Malah kami dapat jumlah layak ditawarkan. Sebenarnya terdapat beberapa perkara lain yang timbul dan ia sudah dibincangkan tadi," jelasnya.

Tambah Juwaidi, dia tidak berhasrat mendedahkannya kerana mungkin akan mencetuskan reaksi balas yang lain.

Sementara itu Kin Lip berkata, situasi yang melanda mereka lebih terarah kepada masalah komunikasi namun kini semuanya sudah jelas.

Hakikat itu turut diakui Ahmad Shapawi yang lega dengan keputusan tiga pemanah berpengalaman itu selepas membuat kejutan enggan lagi mewakili negara dengan terdapat laporan mengaitkannya dengan  isu elaun yang diterima.

Sebagai atlet sepenuh masa dan mengikut kelayakan, mereka dijangka menerima elaun bulanan berjumlah RM2000-RM3000.

"Mereka akan menjadi atlet sepenuh masa dan boleh berlatih di tempat sendiri dengan perlu memenuhi syarat ditetapkan seperti atlet lain. Pada masa sama, mereka akan hadir menjalani latihan secara berkala di sini (MSN di Bukit Jalil).

"Mereka juga kurang jelas tentang perkara berkaitan jurulatih namun dengan struktur baru, mereka akan dipantau Lee Jae-hyung yang kini bertindak sebagai Pengarah Kejurulatihan NAAM," katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 7:17 PM