Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh (tengah) memberi kata kata semangat kepada pemainnya.
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

 

KUANTAN: Tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan pada aksi persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi, tidak menggambarkan prestasi sebenar skuad Pahang.

Sebaliknya, skuad kendalian Dollah Salleh itu masih lagi dalam persiapan memperkasakan pasukan menjelang aksi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M), 1 Februari ini.

Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, dalam pertemuan dengan Negeri Sembilan juga Pahang tidak menurunkan barisan terbaik.

"Beberapa pemain utama tidak diturunkan antaranya Dickson Nwakaeme, Mathew Davies dan Norshahrul Idlan Talaha kerana skuad ini akan mengadakan aksi persahabatan dalam tempoh selang sehari.

"Kita tidak mahu pemain tidak cukup rehat dan mengelak mereka daripada ditimpa kecederaan ketika saingan Liga M akan bermula minggu hadapan," katanya.

Mohammed Suffian berkata, berdasarkan komitmen semua pemain, beliau berpuas hati dan mahu pemain benar-benar sedia untuk mengharungi liga musim ini.

Katanya, persefahaman dan tahap kecergasan kini menjadi keutamaan kerana semua pasukan mahukan piala dan Pahang juga tidak terkecuali.

"Saya harap pemain dapat meningkatkan prestasi terbaik mereka sebelum liga bermula nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 6:13 PM