Nur Dhabitah Sabri antara penerjun negara yang menyertai Kejohanan Terjun Siri Dunia 2019.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Perkhabaran gembira diterima Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) apabila Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) bersetuju menyenaraikan empat penerjun negara untuk menyertai Kejohanan Terjun Siri Dunia 2019.

Ia membabitkan dua penerjun lelaki Hanis Nazirul Jaya Surya, Jellson Jabillin (10m seirama) dan dua penerjun wanita Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri (3m individu dan 3m seirama).

Selain empat penerjun itu Setiausaha Kehormat ASUM Mae Chen berkata, penerjun berpengalaman negara, Leong Mun Yee turut berpeluang beraksi bersama Hanis Nazirul dalam acara 10m terjun seirama campuran. 

Kejohanan Terjun Siri Dunia akan membuka tirai di Jepun pada 1 hingga 3 Mac diikuti Beijing, China dari 7 hingga 9 Mac, Montreal, Kanada pada 26 hingga 28 April dan terakhir di London dari 17-19 Mei ini. 

Menurut Mae penambahan bilangan penerjun negara dalam siri terjun dunia itu adalah satu perkembangan positif buat skuad terjun negara biarpun diserang masalah tahun lalu. 

"Ia satu perkhabaran gembira dan petanda positif buat penerjun negara dalam usaha untuk menempatkan diri ke temasya Olimpik Tokyo 2020. 

"Ia menunjukkan sukan terjun sekarang ini berada di landasan tepat. Kesemua mereka dapat menangani pelbagai masalah sepanjang tahun lalu dengan profesional tanpa menggugat prestasi masing-masing. 

"Paling membanggakan tahun lalu apabila penerjun negara buat pertama kali merangkul pingat di semua siri terjun yang dianjurkan menerusi Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong," katanya. 

Sementara itu Mae turut memaklumkan enam atlet pelapis sudah dikenal pasti untuk diserapkan ke dalam program terjun negara. 

Beliau bagaimanapun kini menunggu kelulusan daripada Majlis Sukan Negara dan berharap lebih banyak lagi penerjun akan dapat diserap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 3:06 PM