DE Jong kini sah bersama Barca. FOTO/EPA
AFP

BARCELONA: Barcelona berjaya mendapatkan khidmat pemain tengah berkualiti Ajax, Frenkie de Jong, umum kelab gergasi Sepanyol itu hari ini.

Pemain berumur 21 tahun itu akan menyertai Barca pada 1 Julai ini dengan harga 75 juta euro (RM353.23 juta) dengan 11 juta euro (RM51.81 juta) lagi kepada Ajax sebagai bayaran tambahan.

De Jong, yang dianggap sebagai salah seorang pemain muda berbakat di Eropah, akan memulakan kontrak lima tahun bersama kelab barunya itu.

“Barcelona dan Ajax mencapai kata persetujuan untuk perpindahan pemain tengah Frenkie de Jong yang akan menyertai kelab Catalan bermula 1 Julai 2019,” kata Barcelona dalam satu kenyataan.

“Kos perpindahan adalah 75 juta euro (RM353.23 juta) ditambah 11 juta (RM51.81 juta). Pemain ini akan menandatangani kontrak selama lima musim lagi, sehingga musim 2023-24.”

De Jong menarik minat pelbagai kelab Eropah, dengan Paris Saint-Germain dan Manchester City dilaporkan sebagai antara kelab yang turut menyatakan minat.

Namun sejarah Barcelona dalam menggilap bakat muda dikatakan antara faktor dia memilih kelab berkenaan.

Selepas ketiadaan beberapa tonggak yang menjadikan Barca juara seperti Andres Iniesta, Xavi Hernandez, Carlos Puyol dan Victor Valdes yang digilap sejak remaja, kelab itu kini sedang membimbing bakat muda dengan De Jong akan menyertai pemain berumur 21 tahun, Ousmane Dembele dan Carles Alen di Camp Nou, disamping pemain berumur 22 tahun, Arthur Melo.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 10:28 AM