NEYMAR dikeluarkan susulan kecederaan kaki kanan. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Penyandang juara, Paris Saint-Germain (PSG) mara ke peringkat 16 terakhir Piala Perancis selepas menewaskan Strasbourg 2-0, awal pagi tadi tetapi kemenangan mereka terganggu berikutan kecederaan yang dihadapi Neymar.

Edinson Cavani dan Angel di Maria menjaringkan kedua-dua gol berkenaan di Parc des Princes dengan Neymar terpaksa dikeluarkan susulan masalah kaki kanan.

Pemain bintang Brazil itu menutup matanya apabila digantikan dengan Moussa Diaby selepas sejam perlawanan berlangsung tatkala situasi menambah kebimbangan PSG menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Manchester United yang dijadual berlangsung kurang tiga minggu.

“Dia berada di hospital dan saya perlu menanti doktor untuk memberi saya perkhabaran,” kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel.

Neymar yang juga pemain termahal dunia patah tulang di kaki kanannya pada Februari tahun lalu dan terpaksa berehat selama tiga bulan sehingga merencatkan kempennya di Piala Dunia Russia.

“Doktor bimbang, Neymar juga bimbang kerana ia adalah di kaki yang sama, tempat yang sama,” kata Tuchel. “Ia adalah situasi di mana dia dijatuhkan sebanyak tiga kali, satu demi satu. Pengadil tidak memberikan apa-apa. Kakinya kemudian mengalami kecederaan.”

Tuchel juga tidak gembira dengan pendapat pemain dan jurulatih Strasbourg, Anthony Goncalves yang mendakwa Neymar sengaja mengada-adakan kecederaan bagi memperlekehkan pihak lawan.

Sebelum sepak mula perlawanan, peminat melaungkan nama Emiliano Sala, yang juga bekas penyerang kelab Nantes yang ketika ini dikhuatiri maut selepas kala terbang yang dinaikinya tidak dapat dikesan di selat Inggeris ketika perjalanan ke kelab baharunya, Cardiff City.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 8:46 AM