PEMAIN Terengganu FC (TFC), Lee Andrew Tuck menjalani sesi latihan menjelang perlawanan Liga Malaysia bagi musim 2019. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


KUALA TERENGGANU: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan merujuk kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terlebih dahulu berhubung cadangan untuk mendaftar pemain import Terengganu FC (TFC), Lee Tuck sebagai pemain tempatan.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kedudukan sebenar berhubung status pemain kelahiran England itu sama ada akan didaftarkan atau sebaliknya akan diputuskan selepas perbincangan lebih lanjut dengan FAM.

"PBSNT akan merujuk kembali kepada pihak FAM berkenaan n status secara rasmi pemain itu. Ura-ura untuk mengambil Tuck sebagai pemain Harimau Malaya ini sendiri lahir daripada hasrat badan induk bola sepak negara itu yang menghubungi ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim sebelum ini.

“Kami mengalu-alukan serta menyambut baik cadangan itu dan dalam masa sama kami akan berbincang dengan pemain itu berhubung isu berkenaan.

“Keputusan itu juga bergantung kepada Tuck. PBSNT tidak akan sesekali memaksa pemain itu, sebaliknya kami membuka pintu rundingan dengan pemain itu,” kata Hishamuddin kepada Sukan NSTP.

Sebelum ini FAM menegaskan badan induk itu tiada hak untuk memaksa mana-mana pemain melepaskan kerakyatan sedia ada kecuali dengan keinginan pemain itu sendiri selain permohonan pendaftaran itu dilakukan persatuan negeri sebelum dipanjangkan kepada FAM.

Mengulas lanjut, beliau berkata PBSNT tidak mempunyai perancangan untuk menambah import baharu setakat ini sekiranya pemain yang digelar 'Rooney Ganu’ itu sah menjadi pemain tempatan.

“Buat masa ini kami tidak begitu 'ghairah’ untuk menambah pemain import baharu seandainya Tuck bergelar pemain tempatan, namun kita akan menyemak kembali keperluan pasukan selepas bermulanya liga.

“Kami harap peminat bersabar, pada kami bukan fokus utama buat masa ini berhubung status pemain itu, malah kami pohon agar diberikan ruang kepada Tuck dan pasukan TFC menumpukan terlebih dahulu saingan liga yang akan bermula awal Februari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 7:09 PM