HENRY makin pening kepala selepas Monaco tidak pernah menang di laman sendiri. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Pencapaian AS Monaco semakin buruk musim ini apabila kalah mengejut 1-3 di laman sendiri kepada Metz pada aksi Piala Perancis awal pagi tadi pada malam suram buat bola sepak di negara itu dengan kemungkinan kematian bekas penyerang Nantes, Emiliano Sala.

Pasukan kendalian Thierry Henry yang tidak menang di laman sendiri dalam liga musim ini dan tersangkut di zon penyingkiran liga utama, gagal bangkit daripada kekalahan 1-5 di tangan Strasbourg hujung minggu lalu.

Penonton dan pemain bertafakur seminit sebelum aksi pusingan 32 terakhir itu untuk menghormati pemain Argentina, Sala, yang hilang dan dikhuatiri mati apabila kapal terbang kecil yang dinaikinya hilang di Selat Inggeris hanya tiga hari selepas perpindahannya ke kelab Liga Perdana Inggeris, Cardiff City.


PENYERANG Monaco Radamel Falcao (dua dari kiri) melakukan percubaan. FOTO/AFP

Monaco bermula buruk di Stade Louis II apabila Gauthier Hein mengambil kesempatan susulan kelalaian benteng pertahanan tuan rumah untuk melencongkan sepakan kaki kiri menarik pada minit ke-32 bagi membantu kelab divisyen dua itu mendahului.

Radamel Falcao menyamakan kedudukan buat tuan rumah tujuh minit kemudian namun Metz mengembalikan kelebihan mereka selepas sejam apabila Marvin Gakpa melengkapkan gerakan sepasukan dengan rembatan kencang melepasi penjaga gol Danijel Subasic.

Kemasukan Cesc Fabregas sebagai pemain gantian pada babak kedua gagal mencetus inspirasi buat Monaco dengan pelawat memastikan kemenangan menerusi satu lagi gerakan tersusun, menyaksikan Ibrahima Niane mudah menampan masuk.

Sementara itu, Lille, pasukan tangga kedua Ligue 1, mengatasi kelab divisyen empat Sete 1-0, manakala naib juara tahun lalu Les Herbiers tunduk di tangan kelab divisyen tiga Villefranche 0-2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 8:29 AM