WAKIL Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) menyerahkan cenderahati kepada Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (lima kiri) selepas Program Kunjung Hormat KAWAT di Wisma Darul Iman. Ihsan UPDI.
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengakui mereka berdepan kekangan kewangan untuk membantu bekas pemain dan jurulatih Terengganu City FC (TCFC) yang dilanda kemelut tunggakan gaji bernilai hampir RM1 juta.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri berkata, beliau memang dimaklumkan mengenai perkara itu dan bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka.

“Kerajaan negeri menghargai usaha mereka (TCFC) untuk terbabit dalam dunia bola sepak sehingga muncul juara Piala FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) musim lalu.

“Tetapi kerajaan negeri mengalami kesukaran untuk membantu berkaitan sumber kewangan, kerana kita juga ada pasukan yang perlu dijaga bawah Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

“Semua ini memerlukan implikasi kewangan yang agak besar berbanding sukan lain.”

“Namun begitu, kita akan memberi sokongan untuk mendapatkan penajaan, termasuk memberikan surat sokongan untuk membantu pasukan bola sepak luar daripada PBSNT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kunjung Hormat Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) di pejabatnya, hari ini.

Sebelum ini bekas pemain dan jurulatih TCFC itu menggesa kerajaan negeri campur tangan berhubung isu tunggakan gaji mereka yang kini sudah berlarutan lebih tujuh bulan.


LAPORAN portal berita Harian Metro 20 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Samsuri turut menasihati pemain, jurulatih dan pengurusan kelab TCFC itu duduk berbincang sekali lagi bagi mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah itu.

Semalam, pengurusan baharu TCFC mengesahkan mereka akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada minggu ini dan berjanji melunaskan hutang dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, mereka meletakkan syarat - FAM mesti membantu TCFC untuk mendapatkan semula slot beraksi di Liga Perdana bagi musim ini.

Sebelum ini, pengurusan baharu kelab itu berdepan masalah berikutan tidak diberikan kuasa penuh menguruskan kelab oleh pentadbiran lama menyebabkan banyak perkara gagal diselesaikan termasuk tunggakan gaji.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 6:01 PM