PEMAIN import Pahang dari Singapura, Safuwan Baharudin. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Mohd Rafi Mamat
sukanteam@nst.com.my


KUANTAN: Berdasarkan senarai skuad Pahang yang dibarisi pemain berpengalaman, pemain import dari Singapura, Safuwan Baharudin yakin mereka berada di landasan tepat untuk menjulang lebih banyak trofi musim ini.

Tonggak tengah Tok Gajah ini percaya, pengendali pasukan, Dollah Salleh mempunyai cukup banyak pillihan untuk menggabungkan kualiti pemain terbaik tempatan dengan pengalaman pemain import.

Tegasnya, selepas hanya mampu menjulang Piala FA musim lalu, tidak mustahil Pahang mampu muncul selaku pencabar utama di Liga Malaysia (Liga M) dan meraih lebih banyak piala.

"Keyakinan saya begitu menebal bahawa Tok Gajah mampu meraih banyak gelaran apabila membariskan pemain kebangsaan seperti Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Azam Azih, Muslim Ahmad, Mohamadou Sumareh dan Matthew Davies. 

"Kelibat Dickson Nwakaeme (dari Nigeria), Saddil Ramdani (Indonesia), Herold Goulon (Perancis) menambahkan lagi bisa Tok Gajah yang kini dalam persiapan terakhir menjelang saingan Liga M," katanya.

Katanya, selepas kempen pra musim di Thailand, persefahaman antara pemain kini semakin baik dan serasi dengan corak latihan yang diperkenalkan jurulatih.

Safuwan yang mengharungi musim kedua bersama Pahang berkata, dia kini berusaha membentuk persefahaman mantap dengan Saddil dan Nwakaeme, yang dianggapnya antara pemain yang cukup berpengalaman.

"Kontrak saya bersama Pahang berakhir 2020 dan usaha menjulang piala Liga Super dan Piala Malaysia perlu dilakukan sebagai membalas kepercayaan yang diberikan terutama selepas menjulang Piala FA musim lalu. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 10:25 PM